PEMODA menyatupadukan penggemar motosikal berkuasa tinggi




Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 19 April. - Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) telah mengadakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 dengan penuh meriah, yang berlangsung di Bilik Serbaguna dan Skydeck Garden, Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SHHB), petang tadi.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan Doa Kesyukuran sebagai tanda kesyukuran atas pencapaian persatuan sepanjang tiga dekad penubuhannya yang dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Kasat, Pengiran Muhammad Amiruddin bin Pengiran Haji Tengah.


Yang Dipertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad dalam ucapannya menekankan bahawa ahli-ahli yang aktif merupakan aset penting dan jentera utama dalam memastikan pelaksanaan misi persatuan berjalan dengan efektif ke arah mencapai visi untuk melahirkan ahli-ahli yang berkualiti, beretika dan berdisiplin serta mendukung Wawasan Brunei 2035.


Jelasnya, Jawatankuasa Tadbir Sesi 2024 hingga 2026 kini sedang merangka Pelan Strategik 2026 hingga 2030 yang dijangka akan dilancarkan pada tahun ini sebagai panduan hala tuju persatuan pada masa akan datang.


Pengiran Haji Redzuan turut mengimbas kembali penubuhan PEMODA pada 18 April 1996 sebagai persatuan motosikal pertama yang didaftarkan di Negara Brunei Darussalam (NBD), bermula dengan hanya 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berhasrat menyatupadukan komuniti berkenaan di negara ini.


Dengan moto 'Bersepadu' katanya, PEMODA terus berkembang seiring dengan arus pemodenan dan kini diiktiraf sebagai antara persatuan motosikal tertua dan terbesar di negara ini serta di Kepulauan Borneo.


"Penglibatan aktif persatuan dalam acara kenegaraan, konvoi luar negara dan pelbagai aktiviti permotoran turut menyerlahkan peranan dan sumbangannya yang signifikan.


"Sehingga kini, PEMODA mempunyai seramai 1,198 ahli berdaftar yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam menyokong perancangan jangka panjang persatuan," ujarnya lagi.


Menurutnya lagi, profesionalisme serta dedikasi ahli-ahli telah memberikan impak positif dalam memastikan kesinambungan kepimpinan dan kemajuan persatuan.


Pengiran Haji Redzuan juga menegaskan bahawa sokongan berterusan daripada ahli-ahli serta sumbangan pemimpin terdahulu, termasuk mantan Yang Dipertua dan ahli-ahli jawatankuasa tadbir, merupakan kunci kejayaan dalam menerajui hala tuju persatuan.


Tambahnya, misi PEMODA adalah untuk menyatupadukan penggemar motosikal berkuasa tinggi di negara ini dengan membentuk satu pasukan yang bermutu tinggi bagi menyertai serta mewakili negara dalam acara permotoran di peringkat serantau dan antarabangsa.


Majlis diteruskan lagi dengan upacara memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-30 PEMODA, diikuti dengan jamuan ringan bagi para jemputan yang hadir.


Kemuncak acara ialah penyampaian Anugerah Khas 30 Tahun PEMODA yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya kepada seramai 13 penerima.


Turut diadakan ialah penyampaian lencana Elite Rider serta Anugerah Best Attire dan Best Motorcycles yang disempurnakan oleh Yang Dipertua PEMODA.


Majlis berkenaan mencerminkan penghargaan terhadap sumbangan ahli-ahli serta komitmen berterusan PEMODA dalam memupuk semangat perpaduan dan keselamatan dalam kalangan komuniti penunggang motosikal di NBD.

Close